Input your search keywords and press Enter.

KKM Nafi Status Vaksinasi Hilang Jika Belum Ambil Booster

M Update, 28/03/2022 – Status vaksinasi COVID-19 penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas serta penerima semua jenis vaksin primer berusia 60 tahun dan ke atas yang masih belum mendapatkan dos penggalak selepas layak, akan hanya bertukar menjadi tidak lengkap selepas 31 Mac.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan(KKM) menafikan mesej tular yang mendakwa status vaksinasi bagi individu tidak menerima dos penggalak akan dihilangkan mulai minggu depan.

“Mesej itu adalah palsu. Untuk makluman, status vaksinasi COVID-19 kepada semua penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas dan penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun dan ke atas yang masih belum mendapatkan dos penggalak selepas layak hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap.

“Ia bukan dihilangkan seperti yang dinyatakan dalam mesej itu,” kata KKM dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, mesej disebarkan melalui media sosial, antara lain meminta penerima vaksin membuat tangkap layar status vaksinasi masing-masing dan menyimpannya kerana kerajaan didakwa akan memadamkan status vaksinasi kira-kira dua juta penerima vaksin yang masih enggan mendapatkan dos penggalak.

Mesej itu juga menyarankan orang ramai berbuat demikian sebagai langkah berjaga-jaga jika status vaksinasi masing-masing terpadam secara tidak sengaja oleh aplikasi MySejahtera.