Input your search keywords and press Enter.

Semua Pengangkutan Awam Di Malaysia Ke Singapura Boleh Beroperasi Mulai 1 April

M Update, 29/03/2022 – Semua kelas perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura dibenarkan beroperasi mulai 1 April depan selaras dengan  pembukaan sempadan darat antara kedua-dua negara. 

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata semua operator perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam berkaitan di negara ini boleh membuat persiapan awal dengan memperbaharui semua permit atau lesen berkaitan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) (di Malaysia) atau dengan pihak berkuasa di Singapura. 

“Namun, penyediaan atau permulaan perkhidmatan sebenar adalah tertakluk kepada kesediaan operator yang terlibat untuk memulakan operasi mereka semula kepada orang ramai,” kata beliau dalam satu kenyataan.  

Menurut Wee orang ramai boleh  mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak operator yang berkenaan mengenai status pengoperasian perkhidmatan rentas sempadan yang bakal disediakan.

Beliau berkata semua operator kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan juga diingatkan untuk mematuhi semua garis panduan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan sedia ada, termasuk menyediakan kod QR di dalam kenderaan perkhidmatan awam yang beroperasi.

Semua operator juga hendaklah memastikan kod QR diimbas oleh penumpang bagi tujuan pengesanan, namun, selaras dengan ketetapan semasa, pihak operator tidak perlu membuat sebarang pemeriksaan sebelum menaiki kenderaan bagi menyemak status vaksinasi penumpang, katanya. 

Wee berkata operator atau pemandu kenderaan perkhidmatan awam boleh menolak daripada menyediakan perkhidmatan kepada mana-mana pengembara yang tidak mematuhi SOP kesihatan semasa seperti pemakaian pelitup muka.

Katanya menjadi tanggungjawab pengembara untuk memastikan mereka telah mempunyai aplikasi MySejahtera yang sah di dalam telefon pintar dan memenuhi semua syarat pengembaraan ditetapkan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan kompaun atau penalti di bawah undang-undang sedia.

Menurut Wee mana-mana pengembara yang akan menggunakan kenderaan motokar persendirian ke Malaysia pula diingatkan untuk mendaftar dan mendapatkan permit kemasukan kenderaan asing (VEP) dengan melayari laman web [https://vep.jpj.gov.my/].

“Kenderaan yang telah berjaya mendaftar akan dibekalkan dengan tag RFID-VEP yang turut dilengkapi dengan aplikasi e-wallet Touch n Go bagi tujuan pembayaran Caj Jalan (RC) dan tol.

“Selain itu, semua kereta persendirian berdaftar Singapura juga dikehendaki membayar RC (RM20 setiap kemasukan) apabila masuk ke Malaysia (melalui lintasan masuk di BSI – Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru dan KSAB – Kompleks Sultan Abu Bakar di Tanjung Kupang, Johor Bahru),” katanya. 

Beliau berkata bagi kenderaan yang telah didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran untuk RC boleh dibuat melalui e-wallet Touch n Go yang digabungkan dalam tag RFID manakala yang belum didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran RC boleh dibuat menggunakan kad Touch n Go.

Menurut Wee, semua pengembara yang memandu kenderaan persendirian pendaftaran Singapura perlu memastikan kad Touch n Go mereka sah dan mempunyai baki mencukupi dalam e-wallet atau kad Touch n Go untuk membayar RC bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan apabila memasuki Malaysia.

“MOT (Kementerian Pengangkutan) berharap pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura ini bukan sahaja dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara, tetapi juga dapat merapatkan kembali ikatan kekeluargaan dan persahabatan antara rakyat Malaysia-Singapura,” tambahnya. 

Mulai 1 April depan  Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

Kebenaran itu terpakai kepada semua kategori pengembara dan penggunaan semua jenis pengangkutan darat, termasuk semua kelas kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan seperti bas henti-henti, bas ekspres, bas pelancongan, bas pekerja dan teksi rentas sempadan.

Sumber: BERNAMA