Input your search keywords and press Enter.

Pindah Hak Milik MySejahtera Antara KKM Dengan MKN

M Update, 01/04/2022 – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan pemindahan pengurusan aplikasi MySejahtera yang berlaku ketika ini adalah antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan KKM, bukan antara pihak swasta dengan kerajaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ketika MySejahtera dibangunkan, hak milik aplikasi itu diberikan kepada MKN, dan syarikat berpangkalan di Singapura, KPISOFT (M) Sdn Bhd pula bertanggungjawab menguruskan aplikasi berkenaan.

Bagaimanapun, ketika dilantik sebagai Menteri Kesihatan pada 30 Ogos tahun lalu, Khairy berpandangan KKM wajar mengambil alih sepenuhnya pengendalian dan operasi MySejahtera memandangkan fungsi utama serta data yang diperolehi menerusi aplikasi itu adalah berkaitan kesihatan.

Susulan itu, katanya, Jemaah Menteri pada 26 November tahun lalu bersetuju agar pemilikan aplikasi MySejahtera dipindahkan daripada MKN kepada KKM bagi memudahkan pengoperasian sistem, pemantauan dan pengesanan kontak dan memperkasa hebahan mengenai kesihatan awam.

“Selaras keputusan Jemaah Menteri ini, suatu Jawatankuasa Pemandu ditubuhkan yang dipengerusikan sendiri oleh saya dan dianggotai pelbagai agensi berkepentingan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Ini bertujuan mengadakan rundingan bersama syarikat pengendali MySejahtera. Justeru, tidak timbul isu penjualan aplikasi MySejahtera kepada pihak swasta, sebaliknya keputusan Jemaah Menteri pada November lalu bertujuan membolehkan pemilikan MySejahtera dipindahkan sepenuhnya kepada KKM.

“Sebagai penjelasan, pemindahan ini bukan daripada syarikat swasta kepada KKM, tetapi daripada agensi kerajaan lain kepada KKM,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai MySejahtera di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, menjawab isu rundingan bagi kos lesen aplikasi MySejahtera, Khairy memaklumkan proses rundingan kini di peringkat akhir dan semakin hampir ke fasa menandatangani perjanjian.

Beliau memaklumkan belum dapat mendedahkan kos berkenaan, namun memberi jaminan ia jauh lebih rendah berbanding RM338.6 juta yang didakwa beberapa pihak ketika ini.

Harga yang saya dengar di pasaran RM300 juta lebih, tapi saya boleh nyatakan di sini bahawa harga yang kita runding ini jauh lebih rendah daripada RM300 juta.

“Saya faham semua ingin tahu berapa kosnya, tapi kita masih dalam rundingan dengan pihak Perbendaharaan dan apabila ia dimuktamadkan, kerajaan akan umum secara telus kepada semua. Itu komitmen saya,” katanya. – BH