Input your search keywords and press Enter.

Tahanan PATI Bolos Dikhuatiri Berbahaya

M Update, 21/04/2022 – Tahanan etnik Rohingya yang masih bolos selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di sini, dikhuatiri berbahaya kerana boleh melakukan apa saja bagi menyelamatkan diri.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, orang awam diminta berhati-hati memandangkan tahanan bolos dikhuatiri akan bertindak di luar kawalan disebabkan sedang kelaparan.

“Takut mereka kelaparan memandangkan ada yang beragama Islam dan ada yang sedang puasa. Jadi, minta waspada kerana takut mereka bertindak di luar kawalan. Sebab mereka lapar, kemungkinan mencuri untuk mendapatkan makanan dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, di sini, pada Rabu.

Wan Hassan berkata, pihaknya masih memburu 176 daripada 528 tahan yang melarikan diri selepas lolos keluar daripada depot tahanan itu.

“Kita percaya mereka masih berada dalam kawasan sekitar dan minta kerjasama orang awam untuk maklum sekiranya ternampak kumpulan ini dipercayai keluar dengan berkaki ayam sahaja,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. Bagaimanapun katanya, polis tidak menolak kemungkinan wujud perasaan tidak puas hati hingga mengakibatkan tercetusnya rusuhan terbabit. – SH