Input your search keywords and press Enter.

Sah, Bukan Cacar Monyet Tapi HFMD

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 26/05/2022 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan ujian sampel yang dibuat ke atas kanak-kanak berusia tiga tahun yang didakwa dijangkiti cacar monyet (monkeypox) sebenarnya dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) virus jenis Coxsackie A6.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak berkenaan sebelum ini dibawa ke Klinik Kesihatan Batu 14, Selangor untuk diperiksa kerana mengalami gejala demam sejak 13 Mei lalu.

“Tiga hari selepas demam itu, ada ruam dan kemudiannya ruam berkenaan menjadi ‘blister’ pada 19 Mei dan mula pecah pada 21 Mei lalu. Kanak-kanak ini kemudiannya dipantau di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dua sampel sudah diambil serta Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan membuat pengujian untuk beberapa jenis virus termasuk HFMD dan cacar monyet.

“Keputusan ujian mengesahkan dia HFMD positif virus Coxsackie A6 dan negatif penyakit cacar monyet serta lain-lain virus,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.

Sebelum ini, KKM dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang notifikasi berhubung jangkitan virus berkenaan di negara ini.

KKM berkata, ia termasuklah kes membabitkan kanak-kanak yang didakwa dijangkiti virus cacar monyet seperti dalam mesej berserta gambar yang ditularkan. Terdahulu, tular tangkap layar memaparkan dakwaan yang mengatakan penyakit itu sudah merebak ke Malaysia.

Paparan berkenaan turut disertakan dengan gambar seorang kanak-kanak yang mengalami simptom persis penyakit cacar monyet pada bahagian tangannya. – Harian Metro