M Update, 27/05/2022 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membawa masuk kira-kira 60,000 pengawal keselamatan warga asing yang menepati kriteria khas ditetapkan untuk memenuhi permintaan sektor keselamatan dalam negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keperluan industri masa kini secara keseluruhannya memerlukan sehingga 150,000 pengawal keselamatan untuk mengisi kekosongan di seluruh negara.
Menurutnya, KDN bersetuju untuk membawa masuk 50,000 ke 60,000 buruh asing manakala selebihnya akan ditawarkan kepada warga tempatan untuk memenuhi jawatan sebagai pengawal keselamatan.
“Kita bersetuju untuk mengambil pengawal keselamatan dari Bangladesh, Nepal dan Pakistan tetapi ada kriteria yang ketat perlu mereka penuhi. Kita akan pastikan mereka yang bekerja ini bukan hanya sihat tubuh badan, tahu undang-undang dan terdiri daripada mereka yang pernah bekerja dengan penguat kuasa atau syarikat keselamatan di negara masing-masing,” katanya.
Hamzah berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Jamuan Aidilfitri 2022 Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di Lobi Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada Khamis. Beliau berkata, KDN telah berhubung dengan Perdana Menteri dari Nepal, Bangladesh dan Pakistan yang menunjukkan minat untuk menawarkan rakyat masing-masing bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.
Bagaimanapun Hamzah menegaskan, setiap pengawal keselamatan warga asing yang dibawa masuk perlu dipilih dengan teliti supaya memenuhi syarat-syarat ditetapkan sebelum bekerja dengan syarikat keselamatan tempatan.
“Saya sudah bercakap dengan Perdana Menteri dari beberapa negara sumber dan mereka memang berminat tetapi saya tidak mahu mereka menghantar sesiapa sahaja tanpa memilih dengan teliti.
“Menurut angka yang diberikan oleh persatuan, mereka kekurangan sekitar 20,000 ke 30,000 pengawal keselamatan. Jadi kali ini kita akan cari betul-betul dan pastikan yang masuk ini cukup baik untuk bekerja,” ujarnya. – Sinar Harian