Input your search keywords and press Enter.

Harga Ayam Dijangka Naik Bulan Depan

M Update, 17/06/2022 – Harga ayam dijangka naik bulan depan apabila ia diapungkan ekoran berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam pada 30 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata susulan jangkaan kenaikan harga ayam, Kementerian Kewangan (MOF) sedang merangka pemberian bantuan kepada golongan memerlukan, yang akan dimuktamadkan hujung bulan ini.

“MOF akan laksanakan sesuatu untuk bantu mereka yang memerlukan, dalam berdepan dengan kenaikan harga ayam di pasaran,” katanya. Sebab itu perlu diteliti secara mendalam, dan seharusnya kita hentikan harga maksima dan bantu pengguna yang berpendapatan rendah cara lain, bukan lagi subsidi pukal,” katanya.

Nanta dalam pada itu mengingatkan pemain industri agar tidak menggunakan kesempatan menerusi harga apungan dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.

Apabila harga ayam diapungkan, katanya KPDNHEP akan turut memantau aspek harga dan jika perlu akan menggunakan kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sekiranya terdapat peniaga mencatut, yakni mengambil untung suatu barangan atau perkhidmatan secara berlebihan.

Pihak industri diharap tidak akan mengambil kesempatan dan menaikkan harga terlalu tinggi. Kita boleh terima sekiranya ia dilaksanakan dengan berpatutan, kerana kita pun tahu bahawa kos operasi telah meningkat. – Bernama