Input your search keywords and press Enter.

Abang Rogol Adik Dipenjara 14 Tahun, 8 Sebatan

M Update, 16/06/2022 – Lelaki orang kurang upaya (OKU) yang kudung kaki kanan dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol adik perempuan kandungnya, tahun lalu.

Penganggur berusia 21 tahun yang bertongkat membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan mangsa berusia 13 tahun ketika kejadian dan perhubungan itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama dan adat untuk berkahwin dengan remaja itu.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Ketereh, di sini, antara 10 malam hingga 11 malam pada 1 November hingga 7 November 2021. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh sudah mengaku perbuatan keji yang dilakukan terhadap adik kandung sendiri.

“Ketika kejadian, mangsa berusia 13 tahun dan masih tidak dapat membezakan baik atau buruk sesuatu perbuatan. Perbuatan itu meninggalkan kesan trauma kepada mangsa dan sepatutnya tertuduh memberi teladan yang baik dan menjaga maruah adiknya,” katanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh merogol adiknya dan mengugut akan memukul mangsa sekiranya memaklumkan kejadian kepada orang lain.

Pada 28 April 2022, mangsa pergi ke Klinik Kesihatan Lundang Paku, di sini, kerana tidak sihat dan pada masa sama ibunya berusia 46 tahun menyuruh mangsa supaya memeriksa di bahagian perut yang dijalankan oleh pegawai perubatan.

Mangsa kemudian dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, sebelum pemeriksaan di Hospital Kajang, Selangor mengesahkan remaja itu mengandung.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun kepada tertuduh yang bermula daripada tarikh ditangkap iaitu pada 3 Jun lalu dan lapan sebatan. – Harian Metro