Input your search keywords and press Enter.

‘Tiada Unsur Panas Baran’, Sharnaaz Ahmad Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

M Update, 20/06/2022 – “Saya tidak bodoh untuk melakukan sesuatu yang begitu. Kepada sesiapa yang membuat spekulasi mengatakan saya panas baran, tunggu cerita sebenarnya,” kata pelakon, Sharnaaz Ahmad, 36, yang dibebaskan dengan jaminan polis hari ini atas dakwaan memukul dan menendang seorang penghuni di kondominium di Segambut, di sini, Khamis lalu.

Sharnaaz ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, mengakui panas baran adalah sinonim dengannya.

“Apa yang saya boleh katakan di sini, tiada unsur panas baran yang berlaku. Saya hanya buat apa yang saya rasa perlu. Kenyataan yang keluar hanya dari sebelah sana. Belum lagi dari pihak saya.

“Jangan hakimi terlalu awal. Tak tahu lagi bila pendakwaan tetapi saya sudah beri keterangan sebaik mungkin kepada pihak polis. Saya juga akan mengadakan sidang media untuk menjelaskan perkara sebenar dalam waktu terdekat,” katanya.

Sharnaaz berkata, dia juga akan membuktikan kepada mahkamah bahawa dirinya tidak bersalah dalam kes yang berlaku.

“Selama tiga hari ini lebih kepada membantu siasatan. Tiada yang teruk, malah banyak pengajaran yang saya belajar. Jangan risau saya okay dan pihak polis juga memberikan layanan yang baik.

“Saya yakin saya tidak bersalah. Insya- Allah saya akan buktikan kepada semua ada kebaikan yang saya buat dalam kes ini yang orang tak tahu dan tidak diceritakan. Saya akan ceritakan nanti di mahkamah. Saya harap tiada pihak cuba buat spekulasi dan terus menuduh mengatakan saya ini penjenayah,” katanya yang turut memaklumkan mahu berjumpa dengan anaknya dulu, Jebat Jayden. – Harian Metro