Input your search keywords and press Enter.

PICKids Dibuka 5 Hari Bermula Hari Ini

M Update, 20/06/2022 – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) akan dibuka selama lima hari mulai hari ini sehingga Jumaat ini untuk pemberian vaksin kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pembukaan program vaksinasi itu bersempena Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2022 yang disambut pada 16 Jun lalu bertemakan “Perlindungan Sepanjang Hayat untuk Semua”.

“Pembukaan vaskinasi ini bagi meraikan ibu bapa yang kini berhasrat mendapatkan vaksin COVID-19 bagi anak yang terlepas peluang sebelum ini dan keprihatinan Kementerian Kesihatan (KKM) atas keselamatan kanak-kanak daripada penyakit cegahan vaksin,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata, ibu bapa yang berhasrat mendapatkan vaksinasi itu boleh mendapatkannya tanpa janji temu di klinik kesihatan di bawah KKM bermula hari ini hingga Jumaat.

Beliau berkata, pemberian vaksin itu berdasarkan kepada stok vaksin di sesebuah fasiliti pada hari itu dan sekiranya stok pada hari berkenaan habis, ibu bapa boleh membawa anak mereka pada keesokan harinya.

“Ibu bapa yang baru mengetahui mengenai vaksinasi COVID-19 atau baru membuat keputusan membenarkan anak divaksinasi digalakkan mengambil peluang ini.

“Bagi kanak-kanak yang akan mencapai umur lima tahun, ibu bapa masih boleh membuat tempahan janji temu vaksinasi mengikut tarikh dan tempat vaksinasi pilihan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.– BERNAMA