Input your search keywords and press Enter.

Operasi KPDNHEP Dibantu Tentera Dan Polis

M Update, 01/07/2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan ‘meminjam’ pegawai daripada agensi penguatkuasaan lain untuk melakukan operasi menangani kekurangan serta ketirisan bekalan minyak masak dalam negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata operasi tidak hanya tertakluk di sempadan, sebaliknya dalam negara khususnya terhadap pengeluar atau pengilang yang disyaki cuba menggugat pasaran minyak masak tempatan.

Beliau mengakui adalah sukar bagi penguat kuasa KPDNHEP berada di semua lokasi dilaporkan.

Justeru, katanya, kerjasama antara agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) penting dalam memastikan tiada ketirisan, sekali gus menjamin bekalan minyak di pasaran sentiasa mencukupi.

“Kami memutuskan untuk memohon bantuan PDRM, tentera dan agensi penguatkuasaan lain untuk operasi penguatkuasaan. KPDNHEP hanya mempunyai 2,200 anggota dan tidak cukup untuk berada di semua tempat.

“Kita bukan mahu mengawal penyeludupan minyak masak di sempadan negara sahaja, malahan kerjasama ini bertujuan menjalankan serbuan di kilang-kilang tertentu,” katanya.

Alexander berkata, penguat kuasa KPDNHEP akan meneruskan Ops Samar dengan menyamar sebagai orang awam di premis yang melakukan kesalahan mengganggu pasaran bekalan minyak masak.

Beliau turut mengakui bekalan minyak masak paket di seluruh negara berkurangan, namun situasi itu tidak ketara.

“Kita akan memperhebatkan penguatkuasaan di seluruh negara bagi mengesan mereka yang cuba memanipulasi bekalan. Sejak Januari tahun ini, sejumlah RM1.6 juta nilai rampasan minyak masak dilakukan KPDNHEP, dengan kebanyakan kesalahan membabitkan menyorok bekalan.Ada juga premis jualan makanan seperti restoran membeli minyak itu untuk digunakan sedangkan ia hanya untuk keperluan domestik,” katanya.

“Saya harap anda dapat bersama-sama kerajaan membantu meringankan kos sara hidup rakyat di negara ini,” katanya.

Wlaupun Malaysia berdepan tekanan inflasi, beliau berkata, kajian mendapati ia masih di tahap rendah berbanding negara barat serta jiran serantau.

Selagi kerajaan mampu mewujudkan persekitaran perniagaan yang sihat, pemain industri pasti bertambah maju dan ini memberi peluang untuk mewujudkan pekerjaan baharu,” katanya. – Berita Harian