Input your search keywords and press Enter.

Yasin Terlepas Hukuman Gantung Sampai Mati

M Update, 06/07/2022 – “Saya amat bersyukur dengan keputusan ini,” kata penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman selepas Mahkamah Majistret di sini melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja hari ini.

Yasin atau nama sebenarnya Muhaammad Yasin Sulaiman menyifatkan keputusan itu satu perkembangan positif bagi dirinya.

“Alhamdulillah, saya mengikut proses dan peruntukan undang-undang dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada rakan dan keluarga yang banyak memberikan sokongan, merekalah sumber kekuatan utama saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Sementara itu, abang Yasin, Zain Sulaiman, 50, berkata, mereka sekeluarga bersyukur dengan keputusan Mahkamah Majistret biarpun adiknya itu tidak dapat beraya bersama pada Aidiladha nanti.

“Kami semua bersyukur dengan perkembangan kes ini, walaupun Aidiladha ini kami tidak dapat beraya dengannya, namun Alhamdulillah, kami lega dengan perkembangan kes yang Yasin hadapi ini.

“Saya harapkan rakan-rakan, teman akan terus mendoakan untuk Yasin,” katanya.

Terdahulu, penyanyi nasyid dan komposer, Yasin terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram, Mac lalu.

Bagaimanapun Yasin didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan miliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan. – Berita Harian