Input your search keywords and press Enter.

Bekas Panglima TLDM Didakwa Pecah Amanah Kes Pembinaan LCS

M Update, 16/08/2022 – Bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan pecah amanah berjumlah RM21.08 juta membabitkan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Bagaimanapun, Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Ramli sebagai Pengarah Urusan BNS telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu dana BNS telah melakukan pecah amanah iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran sebanyak RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited di Standard Chartered Bank, Singapura.

Kesalahan dilakukan di antara 26 Julai 2010 dan 25 Mac 2011 di Menara Boustead, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Ramli didakwa dengan curangnya telah meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun syarikat JSD Corporation Pte Ltd di OCBC Bank Singapura.

Beliau turut dituduh meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun syarikat Sousmarin Armada Ltd di Standard Chartered Bank, Singapura antara 28 Oktober 2010 dan 22 November 2010.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan untuk setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dibantu Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Mahkamah kemudian memutuskan Ahmad Ramli diberi jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta membayar RM200,000 untuk wang cagaran, selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai.

Hakim menetapkan 24 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang jaminan dan cagaran tersebut yang berjumlah RM700,000 sebelum meninggalkan mahkamah kira-kira jam 11.30 pagi. – Sinar Harian