Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Cadang Pinda APJ Oktober Ini

M Update, 16/08/2022 – Kerajaan bercadang untuk mengemukakan pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 pada sesi Dewan Rakyat pada Oktober ini bagi membanteras isu lumba haram dan aktiviti mat rempit.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yasin berkata antara cadangan pindaan adalah tindakan terhadap orang ramai yang menjadi penonton lumba haram dan hukuman terhadap bengkel yang mengubah suai motosikal bagi kegunaan kegiatan itu.

“Ada perbincangan pada 8 Ogos lepas dan beberapa cadangan dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada Kementerian Pengangkutan tentang mengubal undang-undang ini supaya lebih ketat dan ditambah aspek yang perlu diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

“Hukuman denda atau penjara yang ada pada masa sekarang juga perlu ditingkatkan. Bagaimanapun ini masih dalam perbincangan dan berkemungkinan akan dikemukakan dalam Dewan Rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator N.Balasubramaniam mengenai pindaan undang-undang untuk membanteras isu lumba haram serta jumlah operasi melibatkan lumba haram.

Jonathan berkata berdasarkan statistik Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), seramai 1,451 pesalah telah ditangkap dari Januari 2022 hingga Jun lepas.

Menurutnya sebanyak 1,258 saman juga dikeluarkan dan 2,200 kenderaan disita untuk siasatan.

Mengenai cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membina litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri, Jonathan berkata cadangan itu baik dalam usaha memperkasakan sukan permotoran.

Bagaimanapun, beliau berkata maklumat daripada kerajaan negeri menunjukkan ia kurang mendapat sambutan dalam kalangan orang muda termasuk di Pulau Pinang dan Selangor yang telahpun mempunyai litar khas.- Bernama