Input your search keywords and press Enter.

Serang Guru Pusat Tahfiz, 5 Lelaki Dipenjara 10 Bulan, Denda RM2,000

M Update, 18/08/2022 – Lima lelaki masing-masing dipenjara 10 bulan dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku salah atas pertuduhan menceroboh sebuah pusat tahfiz dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pengajarnya pada 11 Ogos lalu.

Tertuduh, Wan Haris Wan Ismail, 38; Zulkifli Mohd Nasir, 27; Azraen Che Mat Noor, 43; Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, dan Rizuwan Hazmi, 47, masing-masing mengaku bersalah sebaik kertas pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Majistret, Siti Aisyah Ahmad.

Berdasar pertuduhan, kelima-lima lelaki itu didakwa menceroboh kawasan Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, Jalan Cheneras di sini, jam 5.10 petang pada 11 Ogos lalu.

Mereka didakwa melakukan pencerobohan itu mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5, 000 atau kedua-duanya.

Susulan pengakuan bersalah mereka, Siti Aisyah memerintahkan setiap tertuduh dipenjara 10 bulan dan denda RM2,000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda yang dikenakan.

Pada prosiding sama, tiga tertuduh, Wan Haris, Zulkifli dan Azraen mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap guru tahfiz terbabit, Muhammad Zulhafiz Mohd. Rasid, 26.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan itu, Siti Aisyah mengarahkan ketiga-tiganya dipenjara lapan bulan dan denda RM1,000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif, manakala semua tertuduh diwakili peguam bela, Fariha Nuzuruhan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – Berita Harian