M Update, 23/08/2022 – Bukan tukang cuci biasa, wanita kelahiran Minangkabau, Sumatera, Indonesia ini pernah berkhidmat sebagai pemandu pelancong selama 30 tahun dan mahir bertutur dalam lima bahasa lain.
Tidak menyangka video memaparkan Nirmaningsih Mawi, 59, yang bertugas sebagai pencuci di Masjid Negara sedang berinteraksi dengan pelawat dalam bahasa Jepun di premis itu menjadi tular di media sosial, baru-baru ini.
Beliau berkata, berbual dan menyantuni pelancong adalah rutinnya sejak berkhidmat sebagai tukang cuci di premis itu, kira-kira enam bulan lalu.
Nirmaningsih yang berhijrah ke Malaysia bersama keluarganya sejak berusia tiga tahun berkata, minat mendalam khususnya dalam bahasa Jepun yang membuatkan beliau berusaha mencari jalan untuk mengambil kursus bahasa.
“Saya memperoleh empat lesen bahasa yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), iaitu bahasa Inggeris pada 1990, bahasa Jepun pada 1994, Arab (2010) dan Jerman (2011).
“Bukan mudah untuk buat lesen ini, komitmen sangat tinggi kerana ada peperiksaan yang perlu dilalui,” katanya ditemui di Masjid Negara, semalam.
Tambahnya, pengalaman mengikuti kursus intensif bahasa Jepun adalah kenangan terindah dan pada masa sama menuntut pengorbanan yang besar kerana baru melahirkan anak pertama.
“Saya masih ingat pada 1992, ada terbaca iklan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai tawaran tajaan itu di akhbar Berita Harian dan disebabkan minat, saya hantar borang permohonan.
“Tak sangka pula dapat panggilan temuduga tetapi saya agak berbelah bahagi kerana anak masih kecil, baru 10 bulan. Jadi selama setahun juga terpaksa berpisah dengan keluarga dan anak, enam bulan ikuti kursus bahasa Jepun di Wisma Belia, Kuala Lumpur dan kemudian dihantar pula ke Tokyo untuk bekerja dengan sebuah syarikat pelancongan di sana bagi memantapkan penguasaan bahasa, selain mempelajari corak kerja mereka.
“Memang tempoh awal berada di Jepun saya tak senang duduk kerana fikirkan anak yang masih kecil, tetapi jika saya tak ambil peluang itu mungkin sampai sekarang tak boleh bercakap dalam bahasa Jepun,” katanya yang turut memberitahu sokongan keluarga khususnya suami adalah faktor utama kejayaannya.
Berkongsi panduan untuk kekal fasih dalam semua bahasa yang dikuasainya, Nirmaningsih berkata, jangan sesekali malu dan sentiasa berusaha bercakap dengan individu yang bertutur dalam bahasa itu.
“Lagi satu…tip untuk senang hafal apa pun…ustaz saya ajar praktikkan baca surah Yasin setiap hari, Insya-Allah.
“Inilah yang saya lakukan. Bayangkan dua tahun pelancong luar tak datang Malaysia sebelum ini…jadi bila bertemu mereka misalnya di masjid, saya mesti mulakan bicara. Ini salah satu cara…jika tidak buat memang boleh lupa.
Bercerita lanjut, sebelum ini beliau bekerja sebagai pemandu pelancong tetapi hilang pekerjaan disebabkan pandemik COVID-19.
“Saya pernah menganggur selama empat bulan dan disebabkan itu, saya rebut sahaja peluang kerja yang ada.
“Bayangkan kerja sebagai pemandu pelancong adalah cinta pertama saya, jadi untuk hilangkan rindu pegang mikrofon… berinteraksi dengan pelancong, sambil kerja (cuci masjid) saya turut ambil peluang tegur, berbual dan bantu pelancong yang hadir melawat dengan menggunakan kelebihan boleh berkomunikasi pelbagai bahasa.
“Jadi, kesempatan ini saya nak betulkan.. ada netizen kaitkan saya seorang guru, pensyarah dan macam-macam lagi, itu tak betul,” katanya.
Ditanya mengenai kerjanya sebagai tukang cuci, ibu kepada lima orang anak ini berkata, beliau tidak pernah malu, malah gembira kerana kerja itu masih membolehkannya bertemu dengan pelancong setiap hari.
“Memang anak-anak pada mulanya minta saya cari kerja lain, tapi saya beritahu ini adalah apa yang saya ingin buat, tambahan pula suami turut bekerja sekali di sini.
“Bila kerja di masjid saya seronok kerana dapat bersihkan rumah Allah, auranya memang istimewa…tak ada di tempat lain. Dengan usia sebegini, kerja ini lebih relaks, sambil kerja dapat juga beribadah, malah ikuti tadarus dan pelbagai kelas agama,” katanya.
Beliau turut mengakui kerja tukang cuci bukan pilihan anak muda, sedangkan terdapat banyak peluang pekerjaan dalam sektor pembersihan yang tidak diisi.
“Ya…orang muda anggap kerja tukang cuci ini tak ada ‘kelas’, mentaliti orang kita masih begitu. Sedangkan, jika tak ada tukang cuci, saya rasa tak ada siapa pun yang nak masuk tandas awam.
“Pada saya dengan persaingan dan kesukaran mendapatkan kerja sekarang, usah terlalu memilih dan jangan pandang rendah kerjaya sebegini,” katanya.
Mengulas kerjayanya sebelum ini sebagai pemandu pelancong, beliau berkata, disebabkan industri pelancongan kembali rancak selepas fasa endemik COVID-19, banyak tawaran mula diterima sejak bulan lalu.
“Saya bekerja sebagai pemandu pelancong sejak 1990 dan tak mungkin akan tinggalkan kerjaya ini. Saya tak berhasrat nak berhenti kerja (tukang cuci) tetapi buat masa sekarang kerja bawa pelancong dibuat ketika hujung minggu, waktu tak bertugas di masjid atau pada sebelah malam sahaja.
“Sekurang-kurangnya bila tular kisah saya, orang ramai tahu dan buka mata mengenai kerjaya sebagai pemandu pelancong…ia bagi saya peluang kerja yang perlu diteroka anak muda. Melalui kerja ini saya dapat teroka negara sendiri, hebahkan kawasan pelancongan dan bersejarah negara malah dapat bertukar pandangan dan budaya dengan pelancong dari serata dunia,” katanya. – Berita Harian