Input your search keywords and press Enter.

Sensitiviti Agama, Kaum Bukan Mainan

M Update, 25/08/2022 – Rakyat Malaysia berhak menganut agama pilihan masing-masing, namun tidak wajar mempersenda pegangan seseorang dalam beragama termasuk cara berpakaian.

Teguran itu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad yang menyelar tindakan seorang lelaki berbangsa Cina memakai songkok sambil dipadankan dengan pakaian menjolok mata ketika menyertai Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2022, hingga tular di media sosial.

Menurutnya, sebagai negara berbilang kaum, isu sensitiviti keagamaan dan kaum bukanlah sesuatu yang boleh dibuat mainan.

“Masyarakat Islam kita cukup marah dan kecewa. Sempadan batas agama, sensitiviti keagamaan dan kaum usah dibuat bahan mainan.

“Usahlah kita berperilaku yang melanggar ajaran agama, adat ketimuran dan tatasusila,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau juga mengingatkan semua pihak supaya berfikir mendalam sebelum melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menyinggung perasaan orang lain.

Idris mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap perkara itu supaya ia dapat dibendung dan menjadi pengajaran kepada semua pihak. Harian Metro