Input your search keywords and press Enter.

Penjawat Awam Gred 11 Hingga 56 Naik Gaji RM100 Mulai Januari Depan

M Update, 30/08/2022 – Penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 negara bakal menikmati Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 mulai Januari depan, kata Perdana Menteri, sebentar tadi.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pengumuman itu bakal dimanfaatkan seramai 1.28 juta penjawat awam dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

“Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada 2023 adalah sebanyak RM180,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat serta Menteri Kabinet.

Pengumuman Perdana Menteri itu adalah antara enam inisiatif yang diumumkan pagi ini, mendapat sorakan gemuruh kira-kira 8,000 penjawat awam yang hadir pada majlis pagi ini. – Berita Harian