Input your search keywords and press Enter.

OPR Akan Dinaikan Lagi Imbangi Inflasi

M Update, 30/08/2022 – Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengambil langkah pencegahan untuk mengimbangi tekanan inflasi yang didorong tarikan permintaan, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Julai 2022 meningkat kepada 4.4 peratus.

Justeru, bank pusat dijangka akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus pada baki dua mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) tahun ini iaitu pada bulan depan dan November.

Kenanga Research berkata, Malaysia akan terus merekodkan kadar inflasi yang tinggi dalam beberapa bulan akan datang disebabkan oleh peningkatan dalam perbelanjaan berkaitan pelancongan serta pemecutan kadar inflasi harga makanan.

Ia berkata, sebagai pengimport bersih makanan, Malaysia akan terus berdepan inflasi yang diimport disebabkan oleh penurunan berterusan nilai ringgit.

Firma penyelidikan itu menambah, harga pengguna akan terus berada dalam trend lebih tinggi berikutan gangguan bekalan sedia ada yang disebabkan oleh krisis Russia-Ukraine dan dasar COVID-19 di China yang ketat, ditambah dengan dasar fiskal mengembang kerajaan serta kekurangan pekerja di peringkat domestik.

“Namun, jangkaan bahawa BNM akan terus mengetatkan dasar monetari dan subsidi RM77.3 bilion kerajaan akan membantu meredakan kenaikan inflasi,” katanya menerusi satu nota penyelidikan.

Inflasi Malaysia, yang diukur daripada IHP meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, didorong oleh kenaikan harga makanan.

Peningkatan kadar inflasi itu adalah lebih tinggi berbanding 3.4 peratus yang dicatatkan pada Jun 2022. Indeks makanan yang meningkat 6.9 peratus kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada Julai.

Sementara itu, AmBank Research berkata ia percaya BNM akan mengambil langkah pencegahan dengan menaikkan 25 mata asas lagi pada mesyuarat MPC akan datang bulan depan dan berkemungkinan 25 mata asas dengan 40 peratus kemungkinan pada mesyuarat terakhir November, menjadikan OPR kepada 2.75 peratus menjelang akhir 2022.

“Bagi seluruh tahun 2022, kami menjangkakan inflasi akan berada antara 2.8 hingga 3.2 peratus sebelum berkurangan kepada 2.6 peratus pada 2023,” katanya.

AmBank Research berkata, isu bekalan mungkin telah reda bermula Julai lalu memandangkan petunjuk tekanan rantaian bekalan menunjukkan trend penurunan sepanjang bulan berkenaan.

Selain itu, katanya harga komoditi dan makanan global telah berkurangan ke paras sama sebelum perang Russia-Ukraine tercetus.

“Ini akan menjadi faktor yang menurunkan tekanan inflasi. Selain itu, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) turun kepada 7.6 peratus, kadar paling perlahan sejak Mac 2021,” katanya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menegaskan, tekanan meningkat terhadap inflasi datangnya daripada penurunan nilai ringgit yang akan menyebabkan kos mengimport lebih tinggi.

“Dolar Amerika Syarikat (AS) mendapat manfaat daripada kenyataan agresif Rizab Persekutuan (Fed) untuk menaikkan kadar faedah selain kedudukannya sebagai aset selamat di tengah-tengah situasi geopolitik yang memuncak,” katanya. – Berita Harian