Input your search keywords and press Enter.

Azizulhasni, Zii Jia Jadi Pilihan Anugerah Perpaduan 100Plus SAM

M Update, 06/09/2022 – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pemain badminton perseorangan lelaki, Lee Zii Jia menjadi pilihan meraih gelaran Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Perpaduan 100Plus Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 2020/2021 di sini, hari ini.

Azizulhasni selaku jaguh keirin terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ memburu gelaran itu buat kali keempat selepas memenanginya pada 2009, 2017 dan 2019 sekali gus menjadi penerima terbanyak setakat ini.

Pelumba kelahiran dari Dungun, Terengganu mengharumkan nama negara selepas meraih pingat perak pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara kegemarannya iaitu keirin, sekali gus memperbaiki pencapaian pingat gangsa dimenanginya pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Beliau dicabar pemain badminton perseorangan lelaki utama negara, yang Lee Zii Jia yang turut melakar sejarah tersendiri pada tahun 2021.

Nama pemain perseorangan lelaki utama negara itu ‘meledak’ di bumi Birmingham apabila menewaskan pemain handalan Denmark, Viktor Axelsen pada aksi final Seluruh England. Pemain berusia 24 tahun itu menampilkan persembahan bertenaga apabila melakar kemenangan 30-29, 20-22, 21-9 dalam tempoh lebih sejam sebelum mengesahkan gelaran juara.

Dengan kejayaan itu, Zii Jia mengakhiri penantian Malaysia selama tiga tahun untuk menyaksikan pemain negara menjuarai Seluruh England selepas kali terakhir menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Pemain kelahiran Alor Setar itu turut membantu skuad badminton lelaki negara muncul naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2020 selepas tewas kepada Indonesia 1-3 di Manila.

Selain itu, pemain negara yang bergelar profesional itu turut membantu skuad negara meraih tempat ketiga apabila menyumbang satu mata dalam Piala Sudirman 2021 apabila tewas 1-3 kepada Jepun pada separuh akhir di Vantaa, Finland.

Perebutan bagi Anugerah Atlet Terbaik untuk Majlis Anugerah Perpaduan 100Plus SAM 2020/2021 edisi ini turut menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan atlet kebangsaan lain. Mereka termasuk beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton) selain Datuk Pandelela Rinong Pamg (terjun) dan Rifdean Masdor (muay thai).

Sementara itu, Bonnie Bunyau Gustin yang dinobatkan sebagai Atlet Para Terbaik 2019 berada dalam radar untuk memburu kemenangan berganda.

Atlet powerlifting yang berasal dari Serian, Sarawak itu mencipta sensasi apabila menyumbang emas pertama negara pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo dalam kategori 72 kilogram.

Lebih mengagumkan, atlet berusia 23 tahun itu turut memecahkan rekod Paralimpik dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan melakukan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiga.

‘Badang kerdil negara’ itu terus mengukir nama Malaysia di mata dunia dengan menampilkan prestasi luar biasa apabila memecahkan rekod dunia pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai Ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekali gus merangkul pingat emas acara berkenaan.

Kejayaan Bonnie melakukan angkatan bebanan seberat 230 kilogram (kg) dalam kategori lelaki atas 72 kg itu memadamkan rekod dipegang atlet Iran Roohallah Rostami yang melakukan angkatan seberat 229 kg di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia pada 2018.

Kemunculan Bonnie di pentas pertandingan tidak pernah mengecewakan apabila meraih emas pada Piala Dunia Powerlifting Para di Bangkok selain turut menjuarai Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia.

Turut tersenarai dalam merebut gelaran Atlet Terbaik Para adalah tiga lagi atlet para negara yang cemerlang dalam sukan masing-masing. Mereka adalah pemenang pingat emas acara badminton Sukan Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou yang merupakan pencabar terdekat Bonnie Bunyau, diikuti Datuk Abdul Latif Romly (Lompat Jauh) dan Chew Wei Lun (Boccia).

Pemenang untuk kedua-dua anugerah ini akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah trofi.

Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap berkata majlis anugerah kali ini sedikit berbeza kerana menggabungkan edisi 2020 dan 2021 selepas penganjurannya ditunda selama setahun akibat pandemik COVID-19 selain penambahan dua kategori baharu di bawah Anugerah Perpaduan Terbaik.

“Tarikan lain dalam Anugerah SAM kali ini ialah hadiah wang tunai paling besar ditawarkan dalam sejarah penganjuran sejak 1985 iaitu RM109,000.

“Hampir 200 penyertaan diterima bagi anugerah kali ini dengan 17 anugerah kewartawanan bakal diberikan iaitu enam kategori masing-masing bagi 2020 dan 2021 serta satu penghargaan tertinggi iaitu Anugerah Siebel,” katanya.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker dijadualkan hadir pada majlis berkenaan.

Pada kali ini enam kategori anugerah kewartawanan dipertandingkan iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Dua anugerah baharu turut diperkenalkan pada tahun ini iaitu Anugerah Laporan Perpaduan Terbaik dan Fotografi Perpaduan Terbaik.

Pemenang keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai pemenang trofi Anugerah Siebel dan hadiah wang tunai RM7,000.

Senarai pemenang terdahulu –

Atlet Terbaik:

1995 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)

1996 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)

1997 – Nurul Huda Baharin (menembak)

1998 – Lim Keng Liat (renang)

1999-2001 – Tiada Anugerah

2002 – Lim Keng Liat (renang)

2003 – Lim Keng Liat (renang)

2004 – Bryan Nickson Lomas (terjun)

2005 – Nicol Ann David (skuasy)

2006 – Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton)

2007 – Wong Mew Choo (badminton)

2008 – Lee Chong Wei (badminton)

2009 – Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)

2010 – Pandelela Rinong Pamg (terjun)

2011 – Nur Suryani Taibi (menembak)

2012 – Pandelela Rinong Pamg (terjun)

2013 – Sazali Samad (bina badan)

2014 – Nicol Ann David (skuasy)

2015 – Pandelela Rinong Pamg (terjun)

2016 – Lee Chong Wei (badminton)

2017 – Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)

2018 – Muhammad Rafiq Ismail (boling)

2019 – Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)

Atlet Para Terbaik:

2016 – Mohamad Ridzuan Mohd Puzi (0lahraga)

2017 – Muhammad Ziyad Zolkefli (olahraga)

2018 – Mohamad Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)

2019 – Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting)

Sumber: Berita Harian