Input your search keywords and press Enter.

Kanak-Kanak Mangsa Dera Seksual Ibu Ditempatkan Di JKM

M Update, 07/09/2022 – Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang disyaki menjadi mangsa dera secara seksual oleh ibu kandungnya akan ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Taman Sinar Harapan (TSH) Ampuan Najihah, Seremban, bermula hari ini.

Perintah hak penjagaan sementara itu dikeluarkan Majistret Mohd Izwan Mohamed Noh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, mengikut peruntukan Seksyen 19 Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001 selepas membenarkan permohonan Pegawai Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah, Zaris Shafira Zakaria.

Terdahulu, mahkamah diberitahu siasatan awal pelindung mendapati kanak-kanak itu perlu diselamatkan dan diletakkan di bawah Perintah Jagaan Sementara di TSH.

Menurut Zaris Shafira, ibu kandung kanak-kanak kini ditempatkan di Hospital Permai, Tampoi kerana disahkan mengalami gangguan narsisistik (narcissitic disorder), manakala bapanya turut menghidap pelbagai penyakit serta tiada pekerjaan dan tempat tinggal tetap.

Katanya, pasangan masing-masing berusia 37 tahun itu berkahwin pada 8 Mei 2015 dan dikurniakan anak lelaki berusia lima tahun.

Sementara itu, Pengarah JKM Melaka, Burhanuddin Bachik ketika dihubungi mengesahkan mengenai permohonan hak penjagaan sementara terhadap kanak-kanak terbabit.

Katanya, hasil perbincangan pihaknya mendapati kanak-kanak perlu diselamatkan dan diletakkan di bawah Perintah Jagaan Sementara di tempat selamat mengikut subseksyen 25 (2) AKK 2021 iaitu bagi satu tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah bagi penyediaan Laporan Pelindung. – Harian Metro