Input your search keywords and press Enter.

Keretapi Sarong Kembali Memeriahkan Hari Malaysia 2022

M Update, 09/09/2022 – Program flash mob atau persembahan kilat berkumpulan Keretapi Sarong 2022 kini kembali bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini dengan tema ‘Retro Kuala Lumpur’, selepas dua tahun tergendala susulan penularan COVID-19.

Pengarah program itu, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata persembahan akan bermula serentak di tujuh stesen tren RapidKL dan Express Rail Link (ERL) dengan diketuai kumpulan sukarelawan di setiap lokasi menuju ke lokasi akhir yang dirahsiakan. 

Beliau berkata stesen terlibat adalah Transit Aliran Ringan (LRT) Subang Jaya, Transit Aliran Massa (MRT) Bandar Utama, LRT Gombak, LRT Ampang, MRT Kajang. 

“Pada tahun ini, kita menambah beberapa lagi stesen permulaan iaitu Stesen KLIA Transit di KLIA dan Putrajaya serta Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad( KTMB ) KL Sentral bagi meluaskan rangkaian peserta.

“Stesen Sentral Kuala Lumpur menjadi stesen permulaan dan perjumpaan bagi peserta yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter dan KLIA Transit dari stesen masing-masing,” katanya pada majlis prapelancaran program itu di sini hari ini.

Shamsul Bahrin berkata program itu buat pertama kalinya juga akan berlangsung serentak di Ipoh, Perak yang dijangka diadakan di Stesen KTMB Ipoh dengan kerjasama Kelab Sosial Ipoh.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan penyertaan lebih 5,000 orang susulan pertambahan rangkaian stesen tren sebagai stesen permulaan. 

Program Keretapi Sarong kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) LOCCO dimulakan sekitar 2012 yang melibatkan ribuan peserta menaiki pengangkutan awam dengan memakai kain sarung sama ada batik atau pelekat yang menjadi simbol kebudayaan dan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. 

Pada tahun ini program ini turut mendapat kerjasama Kementerian Pengangkutan dan agensi di bawah kementerian itu iaitu KTMB, Prasarana Berhad, MRT Corporation, ERL dan Malaysia Airports Holdings Berhad. – Bernama