Input your search keywords and press Enter.

Daftar Masuk Universiti Naik Motor, Dipuji Tak Bebankan Keluarga

M Update, 13/10/2022 – Pemuda datang naik motosikal daftar sendiri masuk Universiti dipuji. Inilah dikatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

“Ya, saya datang mendaftar hari ini berseorangan dengan menaiki motosikal dari Putrajaya,” kata Lau Lai Kiat mengiyakan soalan kami apabila melihatnya menongkat motosikalnya di tepi padang kawad PALAPES Universiti Malaya, baru-baru ini.

“Selepas SPM, saya menyambung pengajian di peringkat diploma di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Motosikal ini memang saya letak di kawasan parkir Terminal Bersepadu Selatan (TBS), dan saya gunakan setiap kali ‘turun’ KL. Untuk pendaftaran hari ini, saya bermalam di rumah rakan saya di Putrajaya; setelah mengambil motosikal saya di TBS,” katanya memulakan perbualan sambil mengelap peluh di mukanya.

“Saya bercita-cita untuk menceburi bidang perniagaan setelah tamat pengajian nanti. Ayah saya yang hanya bekerja sebagai buruh telah bertungkus lumus membesarkan kami adik-beradik, dan sudah tiba masanya saya cuba membalas jasanya,” kata mahasiswa jurusan Pengurusan Sukan ini lagi.

Anak bongsu dari tiga orang adik-beradik ini merupakan yang pertama di kalangan ahli keluarganya yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. “Saya memilih UM bukan sahaja kerana percaya dengan kualiti pendidikannya sebagai universiti terbaik negara, malah saya juga yakin akan menimba pengalaman kehidupan kampus yang menarik dan menyeronokkan,” kata Lai Kiat apabila ditanya mengapa memilih UM sebagai institusi pengajian pilihannya.

“Lagi pun UM di dalam KL, senanglah nak ‘enjoy’ dengan kawan-kawan,” kata bekas murid SMK Seri Tangkak, Johor ini sambil tersenyum penuh makna.

Melihat kami yang masih terpegun dengan keberaniannya menunggang motosikal untuk jarak yang agak jauh dengan membawa beg pakaian dan kelengkapan pengajiannya (ada yang diikat dengan tali di tempat duduk belakang!), penghuni Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (KK12) ini berkata:

“Abang jangan risau. Saya baru tukar minyak hitam bulan lepas.”

Sumber: Facebook Universiti Malaya