Input your search keywords and press Enter.

Budak Sekolah Kongsi Duit ‘Join’ Parti Liar

M Update, 18/10/2022 – Seramai 22 individu termasuk remaja bawah umur ditahan ketika menyertai ‘parti liar’ yang diadakan di sebuah banglo di Batu Feringghi, di sini 13 Oktober lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1.40 pagi itu, suspek yang terdiri daripada 14 lelaki tempatan dan lapan wanita tempatan berusia 16 hingga 21 tahun, didapati berkongsi wang untuk menyewa banglo tiga tingkat dengan kadar bayaran RM1,000 sehari.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, daripada jumlah tersebut, seramai enam daripada mereka adalah remaja di bawah umur dan seorang daripada mereka juga masih bersekolah.

“Setiap pengunjung yang hadir ke parti ini dijemput menerusi kumpulan WhatsApp dan mereka perlu membayar wang antara RM80 hingga RM100 bagi menyertai pesta tersebut.

”Kita juga dapati lapan perempuan yang sertai parti liar ini juga tidak dikenakan sebarang bayaran kerana ia dilunaskan oleh peserta lelaki,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, semalam.

Menurut Soffian, dalam serbuan itu, polis juga telah merampas dua peket dadah jenis ketamin seberat 0.9 gram bernilai RM150 serta tiga biji pil ekstasi dengan anggaran berat 1.6 gram bernilai RM45.

”Hasil saringan air kencing ke atas 22 individu berkenaan juga mendapati enam lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua direman selama enam hari sehingga hari ini,”katanya.- KOSMO!