M Update, 26/10/2022 – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merayu pelajar yang mendapat PerantiSiswa menerusi Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia tidak menjual peralatan berkenaan.
Katanya, kerajaan memberi secara percuma peranti itu untuk memudahkan pelajar dalam pembelajaran.
“Saya harap pelajar yang menerima peranti siswa jangan menjualnya, tujuan kita membantu mereka. Jadi tidak kesampaianlah hajat kita, …cita-cita kerajaan untuk membantu pelajar B40 ini,” katanya kepada selepas Majlis Pelancaran Media City, Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian mengulas kes tular di media sosial mengenai tindakan mahasiswa menjual PerantiSiswa jenis Samsung Galaxy Tab A8 LTE bersama beberapa aksesori diperoleh, dengan harga lebih murah daripada harga pasaran.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan 14 kes penjualan semula PerantiSiswa dikesan di seluruh negara dan pemantauan terhadap perkara itu sedang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang menjual semula PerantiSiswa itu.
Ismail Sabri berkata, sebelum ini memang ada kebimbangan kes penjualan peranti itu yang dibangkitkan Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Pada awalnya dulu kerajaan hanya bagi pinjam peranti itu yang mana selepas tamat belajar empat tahun dipulangkan kembali.
“Tapi kerajaan baik, kita bagi terus kerana tidak mahu menyusahkan mereka untuk memulangkan balik kerana apabila jadi hak mereka maka akan jaga dengan betul, ” katanya.
Ditanya sama ada pelajar yang menjual peranti itu akan disenarai hitam, Ismail Sabri berkata perkara itu belum lagi dibincangkan dengan Menteri Pengajian Tinggi dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Perkara itu (senarai hitam) mungkin mereka (dua kementerian) akan tengok nanti,” katanya. – Berita Harian