Input your search keywords and press Enter.

‘Jangkitan Masih Ada, Kekal Patuhi SOP Pandemik’

MUpdate, 4/11/2022 – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengingatkan masyarakat negara masih dalam Fasa Peralihan ke Endemik dan perlu kekal mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 ditetapkan.

Beliau berkata, amalan SOP mampu mengelakkan penularan kes COVID-19, selain mengurangkan pendedahan kepada mereka yang berisiko tinggi.

“Bila kes jangkitan meningkat, ia secara tidak langsung akan menular kepada warga emas atau mereka yang mempunyai penyakit kronik. Mereka akan mengalami gejala teruk berbanding orang muda yang tiada masalah kesihatan.

“Oleh kerana kita sudah berbulan-bulan berada dalam keadaan terkawal dan kembali kepada kehidupan normal, saya ingin mengingatkan yang kita masih dalam fasa peralihan.

“Walaupun sudah ada vaksin untuk melindungi daripada gejala serius, jangkitan masih ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Penerangan COVID-19@Perhebat di sini, hari ini.

Khairy mengulas mengenai jangkitan harian kes positif baharu COVID-19 di negara ini yang melonjak kepada 4,711 kes semalam berbanding sebelum ini iaitu 3,969 kes.

Beliau berkata, gelombang COVID-19 masih terkawal berbanding dialami negara ketika penularan Omicron awal tahun lalu.

“Kes tetap akan meningkat tetapi daripada kesan gejala, kebanyakan kes positif mengalami gejala ringan iaitu kategori satu dan 2A.

“Namun saya ingin mengingatkan walaupun kesan tidak serius, kita tidak mahu kes meningkat terlampau tinggi kerana ia memberi kesan kepada individu berisiko,” katanya.

Khairy turut menggalakkan individu berusia 50 tahun dan ke atas mengambil dos penggalak bagi meningkatkan tahap imuniti dalam badan, terutama ketika negara mengalami gelombang jangkitan.

Beliau turut meminta calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuat saringan kesihatan jika mempunyai gejala sepanjang tempoh berkempen.

“Kalau bergejala seperti batuk berpanjangan, sakit tekak atau demam perlu buat saringan, itu perkara pertama perlu dilakukan, tak kiralah calon atau penduduk setempat,” katanya.

Sumber : Berita Harian