Input your search keywords and press Enter.

PRU15: Parti Perlu Bertanggungjawab Dengan Tindakan Penyokong

Ketua Polis Negara Tan Seri Acryl Sani Abdullah Sani

M Update, 08/11/2022 – Pihak yang terlibat secara langsung dalam proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu memikul tanggungjawab dalam mengendali dan menguruskan sentimen penyokong masing-masing agar tidak berlaku insiden seperti di Tenom, Sabah pada hari penamaan calon Sabtu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihak seperti calon dan pengurus kempen perlu peka terhadap perkara itu bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini. Beliau berkata kejadian sedemikian merupakan contoh situasi penyokong tidak terkawal boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan merupakan ancaman keselamatan.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) tidak akan berkompromi dalam menangani ancaman yang akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Demi kepentingan orang ramai, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja melanggar undang-undang,” katanya kepada Bernama.

Acryl Sani berkata segala tindakan yang perlu akan diambil bagi memastikan semua pihak yang terlibat dapat menjalankan tugas mereka dalam keadaan selamat dan yakin tanpa sebarang provokasi.

“Dengan persiapan rapi yang telah kami lakukan, kita berdoa mudah-mudahan PRU15 ini dapat berjalan dengan lancar, tenteram, aman serta terkawal,” katanya.

Sabtu lepas, tular menerusi media sosial rakaman video kekecohan berlaku di luar Pusat Penamaan Calon (PCC) Dewan DSP Antanom di Tenom apabila penyokong Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) merusuh sehingga memaksa anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata.

Kekecohan yang berlaku di PPC PRU15 Parlimen Tenom berpunca daripada penolakan pencalonan Presiden KDM Datuk Peter Anthony.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah menyatakan penolakan pencalonan itu dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya dengan alasan Peter masih mempunyai kes mahkamah yang belum selesai. – Bernama