Input your search keywords and press Enter.

Gaji Minimum Malaysia Tertinggi Di Rantau ASEAN

Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

M Update, 15/11/2022 – Keputusan kerajaan melaksanakan kadar gaji minimum RM1,500 bermula Mei lalu, menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai kadar pemberian gaji minimum tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 kepada RM1,200 daripada RM1,100 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020.

Kenaikan kadar gaji minimum yang diwartakan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 27 April lalu, adalah antara inisiatif kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup dan membolehkan rakyat memperoleh lebih banyak manfaat selepas negara turut terkesan dengan pandemik COVID-19.

Jika sebelum ini, Malaysia antara negara ASEAN tercorot dari sudut pemberian gaji pekerja di belakang tiga negara jiran iaitu Filipina, Indonesia dan Thailand, namun atas usaha kerajaan, ia menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai kadar pemberian gaji minimum tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.

Pelbagai reaksi diberikan oleh golongan pekerja memandangkan usaha kerajaan itu memberi pelbagai kebaikan untuk rakyat terutama golongan berpendapatan rendah sama ada yang tinggal di bandar dan luar bandar.

Pekerja bengkel, Muhamad Khairul Anwar, 28, mengakui kenaikan kadar gaji minimum RM1,500 antara keprihatinan yang dibuktikan kerajaan.

Malah, ia adalah perkara yang dinantikan golongan pekerja sepertinya yang menetap serta bekerja di Lembah Klang.

“Saya bersyukur dengan kenaikan RM300 ini kerana ia banyak membantu menampung keperluan harian saya, termasuk isteri dan juga anak. Harapan saya suatu masa nanti, gaji minimum dapat dinaikkan kepada RM1,800 bagi pekerja di Lembah Klang, sesuai dengan kos sara hidup di sini,” katanya.

Bagi Syaidatul Khumaira Zamberi, 18, yang kini bertugas sebagai pegawai khidmat pelanggan, kenaikan gaji membantu meringankan perbelanjaan seisi rumahnya.

“Bila ada kenaikan gaji, sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan seisi rumah kerana saya tinggal bersama ibu bapa yang sudah bersara.

“Selain mengikut saranan kerajaan, syarikat menyediakan komisen dan elaun kedatangan yang menjadikan saya lebih komited terhadap pekerjaan,” katanya yang mula bekerja dengan gaji RM1,300 di sebuah syarikat kewangan, Puchong, Selangor.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata gaji minimum seseorang pekerja itu akan meningkat kepada RM2,000 jika kenaikan gaji tahunan adalah sebanyak RM100 dalam tempoh lima tahun.

Katanya, Malaysia boleh dilihat sebagai negara maju kerana gaji minimum pekerja antara yang tertinggi di ASEAN.

“Selain gaji minimum, penyelesaian lain untuk kenaikan gaji pekerja ialah dengan menghantar mereka mengikuti latihan kemahiran. Ia juga boleh meningkatkan jawatan baharu, gaji serta pengenalan teknologi yang membantu meningkatkan produktiviti pekerjaan,” katanya. – Berita Harian