M Update, 22/11/2022 – Puluhan pengamal media mula berkumpul di perkarangan pintu dua Istana Negara, pagi ini.
Setakat jam 9 pagi, tiada kelibat kenderaan membawa ketua parti politik untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tumpuan terarah di Istana Negara, apabila gabungan parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum jam 2 petang hari ini.
Ketua parti dijangka dipanggil untuk menghadap bagi baginda mendapatkan kepastian sendiri daripada mereka mengenai pendirian gabungan blok parti.
Sementara itu, petugas media tidak dibenarkan membuat liputan di pintu satu Istana Negara.
Seorang anggota polis yang ditemui di sekatan jalan menghala pintu itu berkata, ada arahan demikian kerana tiada pergerakan ketua parti politik di kawasan terbabit.
“Setakat ini, arahan atasan bahawa media tidak dibenarkan masuk sebab tiada pergerakan,” katanya. – Berita Harian