Input your search keywords and press Enter.

Nikah Sempadan: Pasangan, Wali Dan Saksi Berdepan Hukuman Berat

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 17/01/2023 – Hukuman berat bukan saja menanti pasangan yang ‘lari’ untuk bernikah di Thailand, malah wali dan saksi juga turut sama bakal dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

Data menunjukkan rakyat Terengganu yang berkahwin tanpa kebenaran di negara jiran semakin meningkat majoriti membabitkan golongan muda dan lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun.

Bagi perempuan pula kebanyakannya membabitkan ‘anak dara’ berusia bawah 30 tahun selain ada juga golongan itu yang sudah berusia biasanya tetapi tidak mempunyai dokumen perceraian.

Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT), Wan Abd Malik Wan Sidek, berkata walaupun hukuman mengikut Enakmen Undang-Undang Agama Islam Negeri Terengganu 2017 dinaikkan, masih berlaku rakyat negeri ini melangsungkan perkahwinan di Thailand.

Beliau berkata, pihaknya mendapati berlaku peningkatan perkahwinan tanpa kebenaran tahun lalu mengikut kertas siasatan yang dibuka membabitkan seramai 859 pasangan berbanding 786 pasangan pada tahun 2021 seluruh negeri ini.

“Jika kita lihat kepada data, ia tidak berkurang walaupun undang-undang ini dipinda dengan hukuman yang lebih berat dan masyarakat masih tidak takut sebaliknya lari dari undang-undang kita untuk berkahwin di selatan Thailand.

“Kebiasaannya yang memilih berkahwin di Thailand kerana mahu berpoligami, pasangan sudah hamil, tidak mahu mengikut prosedur dengan mengisi borang perkahwinan dan pasangan lari daripada wali.

“Kalau kita lihat sekarang ini, pejabat agama memudahkan masyarakat dengan mengisi borang dalam talian berbanding sebelum ini, tapi disebabkan perangai masyarakat kita yang mudah lagi mahu mudah, mahu segera, …ini yang menjadi masalahnya,” katanya ditemui di pejabatnya di sini.

Wan Abd Malik berkata, bagi kes pernikahan di Thailand dan jika didapati bersalah, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Terengganu menetapkan pasangan lelaki boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM11,000 dan enam tahun penjara.

Beliau yang juga Ketua Pendakwa Syarie Negeri Terengganu berkata, kesalahan pertama yang boleh dicajkan iaitu akad nikah tanpa kebenaran yang membawa hukuman maksimum RM2,000 atau satu tahun penjara dan kedua, Seksyen 125 perkahwinan tanpa kebenaran boleh dicajkan maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara.

“Ketiga, Seksyen 126 iaitu poligami tanpa kebenaran boleh dicajkan dengan maksimum RM2,000 atau satu tahun penjara manakala keempat biasanya, Seksyen 32 tidak membuat laporan pengesahan di pejabat agama selepas dua bulan dan sekiranya tidak membuat laporan boleh dicajkan denda maksimum RM2,000 dan penjara tidak lebih satu tahun.

“Bagi pasangan perempuan pula boleh dicajkan dengan dua kesalahan membabitkan RM7,000 dan empat tahun penjara jika sabit kesalahan.

“Pasangan perempuan boleh dicaj di bawah Seksyen 32 (2) iaitu akad nikah tanpa kebenaran boleh dicajkan denda RM2,000 atau penjara satu tahun manakala Seksyen 125 iaitu perkahwinan tanpa kebenaran maksimum RM5,000 atau penjaranya lebih melebihi tiga tahun,” katanya.

Wan Abd Malik berkata, wali juga boleh dicajkan di bawah Seksyen 36 iaitu perkahwinan yang tidak dibenarkan yang mana denda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara manakala saksi-saksi boleh dicajkan di bawah Seksyen 137 iaitu percubaan dan subahat yang mana hukuman sama dengan pasangan lelaki.

“Kesan perkahwinan di selatan Thailand ini ia perlu kepada pengesahan oleh pendaftar perkahwinan ataupun pengesahan pihak mahkamah dan sekiranya tidak disahkan apabila berlaku kelahiran, anak itu tidak boleh dibinkan dengan bapanya,” katanya. – Berita Harian