Input your search keywords and press Enter.

OKU Bakal Nikmati Pengangkutan Awam Percuma

M Update, 19/01/2023- Selepas diskaun 50 peratus tambang pengangkutan awam, golongan orang kurang upaya (OKU) bakal menikmati pula kelebihan menggunakan perkhidmatan itu secara percuma.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, perkara itu sudah dipersetujui Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, namun mekanisme pelaksanaan pemberian tambang percuma untuk golongan berkenaan perlu diteliti.

Beliau berkata, ketika ini OKU diberi diskaun 50 peratus bagi tambang pengangkutan awam, tetapi tidak ramai daripada golongan itu yang menikmati manfaat berkenaan.

“Saya telah bercakap dengan Yang Berhormat Menteri (Loke) berhubung perkara itu dan secara prinsip beliau telah bersetuju dengan cadangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sesi dialog awam Perkhidmatan Kanak-Kanak (Pemeliharaan dan Perlindungan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di sini, hari ini.

Nancy berkata, tarikh pelaksanaan tambang percuma itu bergantung kepada pihak Kementerian Pengangkutan.

Menerusi ciapan di Twitter, nancy memaklumkan telah berbincang dengan Loke semasa mesyuarat Kabinet hari ini mengenai kemudahan tambang percuma kepada OKU yang menggunakan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan bas henti-henti. – BERNAMA