Input your search keywords and press Enter.

PATI Bina Perkampungan Haram Siap Ada Kemudahan Sekolah

Foto: FB Imigresen Malaysia

M Update, 02/02/2023 – Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sembilan menahan seramai 67 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu pada awal pagi Rabu di sebuah penempatan haram warga asing di Nilai Spring, di sini.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, dalam operasi ini seramai 68 orang warganegara Indonesia telah diperiksa.

“Hasilnya, seramai 67 orang berumur di antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan telah ditahan. Kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan tersebut bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, semasa serbuan, terdapat beberapa PATI cuba meloloskan diri daripada ditahan pegawai imigresen malah ada yang cuba bertindak agresif bagi mengelak daripada ditangkap, namun dapat dipatahkan oleh pasukan operasi.

“Penempatan (lokasi serbuan) ini berada di kawasan permukaan bumi yang tidak rata dan berpaya serta dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar yang mendatangkan risiko kecederaan yang tinggi kepada semua pegawai yang terlibat.

“Pasukan operasi juga terpaksa berjalan kaki melalui kawasan hutan sejauh 1.2 kilometer sebelum sampai ke lokasi. Hasil risikan dijalankan selama sebulan, penempatan ini telah menjadi satu perkampungan yang memiliki kemudahan persekolahan mengikut silibus pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit genset sebagai punca kuasa elektrik,” katanya.

Jelasnya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Turut dijumpai beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang. Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“Operasi ini dilaksanakan berdasar aduan dan maklumat orang awam yang bimbang akan keselamatan penduduk setempat. Kami juga sedang mengenal pasti sama ada penempatan ini didirikan atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan negeri yang diteroka secara haram,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan, operasi tersebut dibantu oleh Bahagian Operasi Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Negeri Selangor, Bahagian Penguatkuasaan Imigresen KLIA, Pasukan Gerakkan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Sinar Harian