Input your search keywords and press Enter.

Gempa Bumi Turkiye: Masjid Seliaan JAKIM Buat Solat Hajat Hari Ini

M Update, 07/02/2023 – Masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu akan mengadakan solat sunat hajat hari ini bagi memohon doa kesejahteraan susulan bencana gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria.

Ia membabitkan Masjid Negara di Kuala Lumpur, selain Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ia akan dilaksanakan selepas solat Maghrib dan seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut diminta melaksanakan ibadah sama.

“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk tujuan mendoakan kesejahteraan buat negara Turkiye dan Syria.

“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan operasi menyelamatkan mangsa. Marilah kita berdoa agar semua mangsa bersama ahli keluarga diberikan kesabaran,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Gempa bumi kuat berukuran 7.4 skala Richter melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada awal pagi Isnin dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan ia berpusat di Daerah Pazarcik.

Menurut laporan media, gempa bumi itu telah meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.

Setakat ini, Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam bencana itu. – BERNAMA