Input your search keywords and press Enter.

Pihak Luar Tiada Hak Campur Tangan Undang-Undang Malaysia – KP Imigresen

M Update, 08/02/2023 – Pihak luar tiada hak untuk mengganggu atau mencampuri urusan kedaulatan serta undang-undang Malaysia termasuk dalam urusan pengeluaran visa dan pas kepada warga asing untuk tinggal atau bekerja di negara ini.

Kedutaan asing juga tidak mempunyai kuasa mengeluarkan sebarang bentuk Pas bagi membenarkan rakyat mereka menetap di Malaysia walaupun untuk tempoh sementara, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sebagai mengulas laporan sebuah portal berita semalam yang memetik kecaman oleh Suruhanjaya Indonesia (Komisi Nasional Hak Asasi Manusia / Komnas HAM) susulan serbuan Imigresen terhadap pekerja asing di sebuah penempatan di Nilai, Negeri Sembilan minggu lalu.

Katanya, fakta yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak ialah individu yang ditahan dalam operasi bersepadu di Nilai Spring itu membabitkan golongan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Tiada mana-mana pihak boleh mempersoalkan kewajaran Imigresen melaksanakan operasi membanteras PATI kerana ia adalah tugas hakiki jabatan ini,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, rakyat Malaysia juga boleh dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa negara luar sekiranya mereka melanggar undang-undang Imigresen negara berkenaan.

Justeru katanya, semua pihak perlu menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara. – Berita Harian