Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Sumbang Lebih AS$2 Juta Untuk Turkiye, Syria

M Update, 08/02/2023 – Kerajaan akan menyalurkan sumbangan wang lebih AS$2 juta kepada kerajaan Turkiye dan rakyat Syria, yang kedua-duanya terjejas dengan bencana gempa bumi pada Isnin lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sumbangan kepada rakyat Syria yang terjejas akan disalurkan melalui Pertubuhan Palang Merah.

Foto: FB Datuk Seri Anwar Ibrahim

Beliau berkata, sumbangan itu membabitkan masing-masing AS$1 juta dari Kerajaan Persekutuan dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, manakala RM10 juta dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Bantuan rakyat yang bersimpati juga akan disalurkan ke Turkiye dan Syria.

“Di Syria, ia akan disalurkan melalui badan antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang berpusat di daerah Pazarcik itu menggegarkan wilayah Kahramanmaras dan menjejaskan beberapa wilayah lain, termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay, dan Kilis, awal pagi Isnin lalu.

Ini diikuti dengan gempa bumi magnitud 7.6 pada 13.24 tengah hari yang turut berpusat di Kahramanmaras.