M Update, 10/02/2023 – Doktor direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes cabul membabitkan kanak-kanak berusia 12 tahun.
Suspek berusia 30 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman pagi ini dan perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, polis mendapat perintah reman terhadap suspek sehingga Khamis depan. Menurutnya, tangkapan terhadap pegawai perubatan itu dibuat semalam, jam 1.50 tengah hari.
“Kejadian itu berlaku ketika mangsa menerima rawatan di wad kanak-kanak hospital terbabit akibat diabetes.
“Kanak-kanak perempuan terbabit menceritakan kejadian itu kepada ibunya kira-kira jam 6 petang bahawa suspek yang merawatnya membuka baju dan meraba dada mangsa serta pegawai perubatan terbabit turut merakam gambar mangsa melalui telefon bimbit,” katanya.
Rohaimi berkata, sehubungan dengan itu, ibu mangsa kemudiannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman pada jam 9 malam kelmarin untuk membuat laporan.
“Polis telah membuat tangkapan ke atas suspek serta merampas telefon bimbit untuk siasatan lanjut. Kita percaya terdapat lagi mangsa lain berdasarkan penemuan awal terhadap beberapa gambar lain di dalam telefon bimbit suspek,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan termasuk mengambil rakaman percakapan saksi lain berhubung dengan kejadian itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya. – Harian Metro