Input your search keywords and press Enter.

Cukai Jalan Sumber Pendapatan Negara, Tidak Boleh Mansuh

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 13/02/2023 – Cukai jalan tidak boleh dimansuhkan kerana ia merupakan salah satu sumber pendapatan utama negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengutip lebih RM4 bilion setiap tahun dan sebahagian besar daripadanya melibatkan kutipan cukai jalan.

“Cukai jalan adalah salah satu hasil pada kerajaan. Sekiranya semua dikecualikan maka kerajaan tiada hasil dan macam mana kita nak tadbir negara. Kena faham bahawa mana-mana negara, kerajaan perlu ada kutipan hasil terutama cukai.

“JPJ kutip lebih RM4 bilion setiap tahun dan cukai jalan sebahagian besar daripadanya,” katanya seperti dipetik laporan portal berita tempatan pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan netizen supaya kerajaan memansuhkan cukai jalan.

Bermula Jumaat, orang awam tidak perlu lagi memaparkan lesen kenderaan motor (LKM atau ‘roadtax’) pada kenderaan sebaliknya menggunakan mod paparan digital.

Anthony dilaporkan berkata, inisiatif itu bertujuan mengatasi isu pelekat LKM yang kerap rosak dan bermasalah sebelum ini.

Beliau berkata, orang awam boleh mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam JPJ atau aplikasi mobile MyJPJ menerusi App Store, Play Store dan Huawei App Gallery.

Dalam pada itu, Loke turut mengingatkan bahawa inisiatif baharu tersebut memberi pilihan kepada pengguna jalan raya untuk mendapatkan salinan cukai jalan digital. Bagaimanapun mereka yang ingin terus mempamerkan pelekat cukai jalan masih boleh berbuat demikian.

“Saya tahu ada pihak menyatakan ia menyusahkan. Macam mana orang tua yang ada di kawasan pedalaman, tak ada internet dan sebagainya,” ujarnya. “’Sticker’ masih boleh pakai. Bukan tak boleh pakai. Saya hanya kata tak wajib (dipamerkan),” jelasnya.

Justeru, Loke sekali lagi ingin menekankan bahawa cukai jalan digital tidak diwajibkan dan mempamerkan pelekat cukai dibenarkan. – Sinar Harian