Input your search keywords and press Enter.

PM Minta Semua Pihak Patuh Titah Agong, Tumpu Bagunkan Semula Ekonomi

M Update, 14/02/2023 – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya semua pihak patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan semula ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata Al-Sultan Abdullah juga bertitah supaya kemelut politik negara tidak lagi berterusan.

“Titah Tuanku supaya kemelut politik yang berpanjangan mesti dihentikan dan menumpukan sepenuhnya kepada usaha membangkitkan semula ekonomi mesti dipatuhi semua pihak,” kata beliau melalui Twitter, hari ini.

Ketika bertitah merasmikan pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Parlimen hari ini, Al-Sultan Abdullah menyambut baik permuafakatan yang dicapai dalam kalangan pimpinan parti Kerajaan Perpaduan, yang selari dengan hasrat baginda untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

Justeru, titah baginda, kerajaan boleh menumpukan daya usaha untuk memperkuat tekad bagi menjamin kestabilan politik dan menjana pertumbuhan ekonomi yang akan menjamin kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata fokus kerajaan ketika ini adalah berusaha menyelesaikan isu rakyat.

“Kita mahu menjadikan keadaan sedia ada lebih baik, berbanding sebelumnya. Ini juga akan menjadi keutamaan kami sepanjang persidangan Parlimen kali ini,” katanya.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pula menyifatkan titah Al-Sultan Abdullah boleh dijadikan kekuatan untuk pemimpin dan rakyat negara ini membina negara bangsa.

“Saya harap semua pihak mesti fokus untuk membahaskan isu rakyat, terutama kos hidup, ekonomi, pendidikan dan lain-lain, tapi asasnya mesti berkisar kepada perpaduan, kestabilan, keikhlasan, kejujuran serta integriti, dengan nilai sejagat yang dapat membezakan negara bangsa dengan negara dan bangsa lain di luar sana.

“Kestabilan dan perpaduan menjadi asas kepada segalanya. Pada masa sama, saya secara peribadi melihat pemerintahan Tuanku yang bersandarkan integriti dan keikhlasan, tanggungjawab serta amanah yang amat tinggi menjadi satu perkara yang saya sendiri hargai,” katanya.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pula merakamkan ucapan terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah atas perhatian baginda kepada Sabah dan Sarawak.

“Jutaan terima kasih atas perhatian Tuanku terhadap kemajuan pembangunan di Tanah Besar Malaysia, iaitu Sabah dan Sarawak, khususnya kemajuan projek (Lebuh Raya) Pan Borneo,” katanya.

Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, berkata Al-Sultan Abdullah mengingatkan pemimpin dan rakyat supaya menghormati perbezaan kaum dan agama.

“Baginda menitahkan supaya warga Malaysia hidup dengan aman dan harmoni,” katanya.

Sumber: Berita Harian