Input your search keywords and press Enter.

Pengambilan Kakitangan Awam Berdasarkan Merit, Kompetensi Calon Bukan Kaum

M Update, 13/02/2023 – Pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon tanpa membabitkan sebarang kuota seperti ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, berkata perkhidmatan awam selama ini tidak pernah menetapkan faktor bangsa, kaum, etnik atau negeri tertentu sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam.

Sebaliknya, beliau berkata, kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri.

“Permohonan pula adalah terbuka kepada semua bangsa dan agama. Tanpa membuat permohonan melalui SPA, bagaimana seseorang individu itu boleh menyertai perkhidmatan awam atau dilihat berminat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

“Ketika ini sambutan daripada kaum bukan Bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam dilihat kurang kerana mereka berpandangan gaji rendah berbanding jika bekerja di sektor swasta, bidang lain atau berniaga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dilaporkan berkata, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar semalam pula berkata Kerajaan Perpaduan tidak melihat isu dominasi kaum Melayu dalam sektor perkhidmatan awam sebagai satu masalah ketika ini dan menyifatkan kenyataan itu pandangan peribadi Ramasamy.

Adnan berkata, CUEPACS memandang serius kenyataan itu dan pihaknya cukup terkilan apabila wakil rakyat terbabit membuat kenyataan terbuka tanpa mendapatkan sebarang maklumat yang tepat daripada kerajaan mengenai situasi sebenar dalam perkhidmatan awam.

“Beliau adalah seorang daripada wakil rakyat daripada parti politik yang membentuk kerajaan ketika ini. Kenyataannya mengenai dasar berasaskan kaum dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam adalah satu tuduhan yang berat dan tidak berasas.

“CUEPACS atau mana-mana pihak dalam perkhidmatan awam sendiri tidak pernah mempertikaikan sektor lain yang juga didominasikan oleh kaum tertentu. Jika wakil rakyat itu berniat ikhlas, beliau sepatutnya perlu membangkitkan isu ini yang turut membabitkan kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Katanya, seorang wakil rakyat, beliau sepatutnya memberi kesedaran kepada rakyat mengenai peluang kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam supaya pelbagai kaum berminat atau mengetahui peluang kerjaya yang tersedia.

“Tidak wajar untuk menuduh perkhidmatan awam sebagai milik kaum tertentu jika anda sendiri sebagai wakil rakyat tidak bersama-sama dengan perkhidmatan awam untuk meningkatkan lagi pembangunan kerjaya dalam sektor awam ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam terutama di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara.

“Disebabkan faktor ini jugalah penjawat awam sentiasa neutral dan tidak apolitikal dalam mencurahkan bakti kepada negara dan rakyat tanpa mengambil kira bangsa seseorang itu.

“Kita tidak pernah melihat penjawat awam mengabaikan sesuatu bangsa dalam memberikan perkhidmatan bahkan penjawat awam jugalah kumpulan pertama yang berada di barisan hadapan bagi membantu rakyat sekiranya berlaku bencana atau darurat,” katanya.

Justeru katanya, CUEPACS amat mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk memberi pandangan dan idea untuk membangunkan lagi sektor perkhidmatan awam. – Berita Harian