Input your search keywords and press Enter.

Kampung Baru: Kepentingan Orang Melayu Tetap Dipertahankan

M Update, 21/02/2023 – Kerajaan memberi jaminan akan tetap mempertahankan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru bagi meneruskan rancangan pembangunan kawasan segi tiga emas itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa program yang dikhuatiri menjejaskan kepentingan Melayu telah ditangguhkan.

Justeru menurutnya, rancangan pembangunan semula Kampung Baru akan dikaji semula dengan mengambil kira pandangan penduduk tempatan dan wakil rakyat.

“Saya telah beri jaminan malah telah menangguhkan beberapa program yang saya tidak yakin akan mempertahankan kepentingan Melayu.

“Saya tidak setuju walaupun hak milik kekal Melayu, tapi ada pajakan 60 tahun atau 99 tahun..ia tak mempertahankan kedudukan Melayu. Oleh demikian beri ruang kepada saya untuk kaji semula tapi saya juga akan rujuk pandangan masyarakat tempatan sendiri dan libatkan wakil rakyat.

“Semua keputusan dulu yang selari dengan pendirian ini (pertahan hak Melayu) akan diteruskan. Tapi semua dasar yang menjejaskan kerangka besar dasar kita itu tidak akan diterima. Itu akan dibuat. Kita tunggu, insya-Allah saya akan buktikan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang mahu Perdana Menteri memberikan jaminan dalam soal mempertahankan kepentingan hak orang Melayu di Kampung Baru dalam rancangan pembangunan semula itu. – Sinar Harian