Input your search keywords and press Enter.

Mais Nafi Terbabit Projek Bakul Makanan

M Update, 17/02/2023 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan pihaknya terbabit dalam projek pembekalan bantuan bakul makanan yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat.

Setiausahanya, Dr Ahmad Shahir Makhtar, berkata pihaknya menerima aduan daripada sebuah syarikat swasta yang melaporkan menerima pesanan pembelian dan invois yang menggunakan kepala surat rasmi berlogo MAIS bagi tujuan mendapatkan dana projek pembekalan bantuan bakul makanan.

Beliau berkata, hasil semakan MAIS, kedua-dua dokumen itu didapati palsu dan kami tidak terbabit dengan projek pembekalan bakul makanan (Food Bank) serta tidak pernah melantik mana-mana pihak menjadi ejen MAIS untuk projek bantuan yang berkaitan.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap organisasi atau individu yang sewenang-wenangnya mengguna pakai logo atau memalsukan dokumen membabitkan MAIS bagi tujuan menyalahi undang-undang serta mengelirukan orang ramai.

“Kami kesal dan memandang serius insiden pemalsuan dokumen yang menggunakan logo MAIS dan kami akan melaporkan perkara ini kepada polis supaya siasatan dapat dibuat.

“Tindakan undang-undang yang tegas boleh diambil terhadap pihak yang melakukan jenayah pemalsuan dokumen mengikut seksyen 468 Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MAIS melihat perbuatan pemalsuan dokumen ini adalah satu jenayah yang serius kerana ia menjejaskan imej agensi itu dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam khususnya di Selangor.

Justeru katanya, MAIS menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dengan penipuan oleh mana-mana pihak yang menggunakan nama MAIS untuk tujuan mendapatkan sumbangan dan apa-apa kepentingan lain.

“Jika terdapat perkara yang meragukan, orang awam boleh mendapatkan pengesahan daripada MAIS dan merujuk kepada MAIS melalui talian 03-5515 3400 atau e-melkan ke pro@mais.gov.my,” katanya.

Sebuah portal berita pada Selasa melaporkan seorang usahawan disyaki menggunakan logo MAIS pada kepala surat dokumen pesanan pembelian untuk mendapatkan dana berjumlah RM660,000 bagi melaksanakan projek bantuan bakul makanan. – Berita Harian