Input your search keywords and press Enter.

Pelitup Muka Diperakui Sirim Berkuatkuasa 1 Julai

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 22/02/2023 – Tarikh penguatkuasaan baharu bagi Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Pelitup Muka Bukan Perubatan) 2022 ditetapkan pada 1 Julai 2023, demikian menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penetapan tarikh penguatkuasaan itu adalah untuk memberi peluang kepada lebih ramai pengeluar dan pengedar di negara untuk mendapatkan sijil penandaan daripada Sirim Qas International Sdn Bhd.

Selari dengan perkara itu juga, KPDN akan mengadakan larangan import terhadap pelitup muka bukan perubatan yang tidak mempunyai standard perakuan seperti yang telah ditetapkan.

“Kerajaan percaya tempoh hingga hujung Jun 2023 ini adalah mencukupi bagi pihak pengeluar dan pengedar untuk memperoleh standard perakuan pelitup muka bukan perubatan yang dijual dalam negara,” katanya.

KPDN menjelaskan mana-mana pihak yang ingin mengedar, mengeluar atau menjual pelitup muka bukan perubatan di dalam negara mesti memastikan produk berkenaan telah mendapat standard perakuan berkaitan dan maklumat yang berhubungan dengan standard perakuan pelitup muka bukan perubatan itu.

“Ia mestilah disertakan pada kotak atau bungkusan pelitup muka bukan perubatan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, KPDN menetapkan tarikh kuat kuasa Perintah Perihal Dagangan (Penandaan dan Perakuan Pelitup Muka Bukan Perubatan) 2022 pada 4 Julai 2022, dan kemudiannya tarikh penguatkuasaan perintah itu ditangguhkan hingga 1 Januari 2023.

Dalam tempoh itu, KPDN telah mengambil pendekatan pendidikan iaitu aktiviti penguatkuasaan dan tindakan hukuman tidak dilakukan kepada syarikat atau individu yang mengedar, mengeluar dan menjual pelitup muka bukan perubatan yang tidak mempunyai perakuan standard yang ditetapkan. – Harian Metro