Input your search keywords and press Enter.

Rakyat Tempatan Diingat Jangan Beri Pinjam Kenderaan Kepada Warga Asing

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 23/02/2023 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan mengenakan tindakan lebih tegas kepada rakyat tempatan yang membenarkan warga asing termasuk etnik Rohingya tiada lesen memandu menggunakan kenderaan milik mereka.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata jika sebelum ini pemilik asal hanya dikenakan kompaun tetapi pihaknya sedang berusaha membawa kes berkaitan ke mahkamah sebagai pengajaran.

Kebelakangan ini semakin ramai warga asing yang dikesan memandu kereta atau menunggang motosikal yang dipinjam daripada pemilik warga tempatan termasuk dipinjamkan oleh majikan masing-masing.

“Kes sebegini sangat serius malah kebelakangan ini semakin meningkat dan berleluasa terutama membabitkan pemegang kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).

“Mereka ini tidak mempunyai lesen memandu dan kenderaan juga ada yang tiada insurans, jadi jika terbabit dalam kemalangan atau kesalahan jalan raya, memang menimbulkan masalah besar.

“Sehubungan itu, kami sedang berusaha untuk membawa kes itu ke mahkamah bagi memberi pengajaran kepada pemilik kenderaan berbanding sebelum ini hanya dikenakan kompaun sahaja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Misuari berkata, berbanding warga asing lain yang hanya menunggang motosikal atau basikal sahaja, etnik Rohingya dilihat lebih berani apabila memandu kereta dan berkemungkinan besar ia disebabkan kad UNCHR yang dimiliki dianggap kebal.

Operasi sentiasa dijalankan pihaknya dari semasa ke semasa dan bukan sekadar menumpukan sekatan jalan raya tetapi juga membuat rondaan bermotosikal bagi mengesan penggunaan kenderaan oleh warga asing di jalan raya.

“Pemegang kad UNCHR menganggap mereka memiliki ‘lesen besar’ dan kebanyakan yang ditahan adalah memandu kereta dan menunggang motosikal roda tiga berbanding warga Bangladesh yang lebih suka berbasikal.

“Kita bukan anti warga asing, tapi minta semua pihak supaya ikut peraturan kerana ada juga yang kami kesan memandu kereta yang sudah boleh dilupuskan,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir di Dewan Audi Akademi Memandu Berhemat Kotaraya Sdn Bhd, Padang Tembak merasmikan kursus Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) yang disertai 45 pesara tentera. – BERITA HARIAN