Input your search keywords and press Enter.

Zulkapli Dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Baharu

M Update, 27/02/2023 – Datuk Dr Zulkapli Mohamad dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu, sekali gus mengisi jawatan itu yang ditinggalkan kosong sejak Disember lalu.

Pelantikan Zulkapli, 58, yang sudah berkhidmat selama 31 tahun dalam perkhidmatan awam itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini.

Mohd Zuki melalui kenyataan media memaklumkan, pelantikan Zulkapli mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan ia berkuat kuasa hari ini.

Zulkapli berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia (USM), selain Ijazah Sarjana Pembangunan Antarabangsa dari University of Japan dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi (Kewangan Antarabangsa) dari Universiti Meiji di Jepun.

Beliau mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam dengan jawatan pertama disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 1 Disember 1992.

Mohd Zuki berkata, pelantikan Zulkapli berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan, serta pembangunan modal insan.

“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) di JPA, selain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di SWCorp dan Setiausaha Persekutuan Sabah.

“Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti dimiliki, beliau mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANi,” katanya.

Jawatan KPPA kosong selepas perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah ditamatkan berkuat kuasa 12 Disember tahun lalu.

Ia susulan insiden tular kontroversi di antara Mohd Shafiq dengan pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos lalu. – Berita Harian