Input your search keywords and press Enter.

Johor Dilanda Banjir, 1,591 Mangsa Dipindahkan Ke PPS

Foto Ihsan APM Kluang

M Update, 01/03/2023 – Seramai 1,591 penduduk daripada 560 keluarga dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di empat daerah terjejas banjir, setakat jam 8 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata ia susulan hujan lebat berterusan sejak 24 jam lalu yang menyebabkan kebanyakan penempatan di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinaiki air banjir sekali gus menyebabkan 21 PPS dibuka sejak jam 1 pagi tadi.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata Segamat menjadi daerah paling terjejas dengan seramai 746 mangsa daripada 209 keluarga ditempatkan di enam PPS yang dibuka.

“Johor Bahru pula adalah daerah kedua paling terjejas dengan 560 mangsa yang dipindahkan di enam PPS diikuti Kluang yang mempunyai 188 mangsa daripada 162 keluarga di enam PPS. Seramai 123 mangsa daripada 32 keluarga pula ditempatkan di tiga PPS di Kota Tinggi.

“Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya atau merah ke atas semua 10 daerah negeri ini sehingga esok, sekali gusmeningkatkan risiko banjir di kawasan rendah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Foto Ihsan APM Kluang

Dalam pada itu, Azmi berkata, 10 sungai utama masing-masing tiga di Segamat dan Kulai, Johor Bahru (dua) dan masing-masing satu di Kluang dan Pontian, berada pada paras bahaya pagi ini.

Katanya, ia membabitkan Sungai Segamat Kecil yang melebihi paras bahaya di 38.12 meter, Sungai Batu Pahat lembangan Sungai Lenik melepasi 13.74 meter manakala Sungai Lenik Ladang Chaah pula melepasi 6.73 meter.

“Di Kulai pula, Sungai Siku di Kampung Murni Jaya melepasi paras bahaya di 18.93 meter, Sungai Skudai Kampung Separa melepasi 18.80 meter manakala Sungai Kampung Melayu Bukit Batu turut melepasi paras bahaya di 12.01 meter.

“Di Johor Bahru, Sungai Skudai di Kampung Laut melepasi paras bahaya 5.60 meter dan Sungai Skudai di Kampung Pasir turut melepasi tahap bahaya 1.05 meter.

“Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang juga melepasi tahap bahaya di paras 15.49 meter dengan Sungai Pulai, di Kampung Ulu Pulai, Pontian turut melepasi tahap bahaya pada paras 2.85 meter,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, dua jalan utama masing-masing di Kluang dan Segamat, turut ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air banjir.

“Ia membabitkan Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway FT050) di Kluang dan Jalan Bekok (J150) yang dinaiki air bah hampir satu meter,” katanya.