M Update, 03/03/2023 – Hasil penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap kandungan filem ‘Mentega Terbang’ mendapati, terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata JAKIM akan mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), agar tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), juga diminta untuk memanggil pihak yang terbabit dengan penerbitan filem itu untuk urusan selanjutnya.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sama sekali tidak berkompromi dengan apa jua kandungan penerbitan yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam, lebih-lebih lagi boleh mengundang kontroversi dan keharmonian masyarakat Malaysia.
“Saya juga ingin menasihatkan kepada penggiat seni kreatif agar lebih berhati-hati dalam menerbit dan menyiarkan bahan kandungan kepada masyarakat, agar matlamat kerajaan menuju negara MADANI akan tercapai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Na’im turut menasihatkan masyarakat agar lebih berhati-hati dalam memilih rancangan televisyen untuk tontonan keluarga, sama ada dalam mana-mana platform supaya tidak terdedah kepada unsur-unsur yang boleh menjejaskan akidah Islamiah. – Bernama