Input your search keywords and press Enter.

Mahkamah Kekalkan Hukuman Mati Terhadap Suami Pengasuh Bayi Zara

M Update, 03/03/2023 – Mahkamah Rayuan pada Rabu mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas pengunting rambut kerana membunuh seorang bayi perempuan berusia 11 bulan, lima tahun lalu.

Barisan tiga hakim yang bersidang diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah, sebulat suara menolak rayuan oleh Hazmi Majid, 41, kerana hakim perbicaraan tidak melakukan sebarang kesilapan dalam fakta dan undang-undang dalam mendapati perayu bersalah seperti pertuduhan.

“Kecederaan yang dilakukan ke atas bayi itu, dalam keadaan biasa adalah mencukupi untuk menyebabkan kematian.

“Kami mendapati keputusan hakim (Mahkamah Tinggi) adalah selamat, berdasarkan keseluruhan bukti. Oleh itu, rayuan ini ditolak dan sabitan dikekalkan,” kata Hakim Hanipah yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun.

Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Hazmi bersalah atas keputusan tersebut pada 20 Ogos 2021.

Hazmi, adalah suami kepada pengasuh mangsa, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara, di sebuah unit di Pangsapuri Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati.

Media sebelum ini melaporkan bayi itu meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat penderaan fizikal dan seksual oleh suami pengasuh bayi tersebut.

Ibu mangsa sebelum ini dimaklumkan bahawa bayi itu dihantar ke hospital oleh pasangan terbabit yang mendakwa kanak-kanak itu tercekik buah epal.

“Saksi pendakwaan (PW5) dan pakar patologi, Dr Emizam Mohamadon telah memberi keterangan bahawa punca kematian ialah akibat hentakan tumpul di kepala dan menyifatkan kecederaan serius dan berkemungkinan mengakibatkan kematian.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati terdapat kesan koyakan pada selaput dara dan duburnya dan laporan Patologi mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala dan tengkoraknya. – Harian Metro