Input your search keywords and press Enter.

FSA2 KWSP Bukan Cagaran Kepada Bank

Oleh Bernama

M Update, 11/04/2023 – Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan berbentuk cagaran oleh peminjam terhadap pihak bank, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, pihak bank tidak boleh menggunakan simpanan peminjam KWSP sekiranya ahli atau peminjam gagal membayar ansuran pinjaman mereka.

“Cagaran maksudnya (pihak bank) mempunyai hak untuk menguatkuasakan cagaran apabila berlaku kegagalan daripada pihak peminjam, maksudnya jika pinjam RM5,000, tak bayar, serta-merta ambil RM5,000.

“Tetapi FSA2 ini bukan cagaran, pemberi pinjaman iaitu bank tidak boleh menggunakan simpanan KWSP sekiranya ahli gagal membayar ansuran pinjamannya.

Ahli mempunyai hak untuk membuat pengeluaran apabila mencapai umur 50 atau 55 tahun kerana ahli masih dilindungi di bawah Seksyen 51 Akta KWSP 1991,” katanya ketika menggulung usul pengeluaran lanjutan KWSP di Dewan Negara,semalam.

Terdahulu, usul bagi membahaskan pengeluaran lanjut KWSP dikemukakan Senator Datuk Razali Idris, mengikut Perkara 17 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Bagaimanapun, usul dibawa Razali yang telah dibahas oleh 12 ahli Dewan Negara ditolak.

Dalam pada itu, Ahmad turut menjelaskan bahawa kerajaan tidak membenarkan pengeluaran bersasar KWSP buat kali yang kelima kerana bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Kalau kita hendak popular bagi sahaja (luluskan) semua pengeluaran, keluarkan sahaja RM5,500 atau RM3,300 sampai kosong tetapi kerajaan ini kerajaan bertanggungjawab sebab itulah kita tidak benarkan,” katanya.