Input your search keywords and press Enter.

Kanak-Kanak Perempuan Melecur Ketika Bermain Bunga Api

M Update, 13/04/2023 – Seorang kanak-kanak perempuan melecur hampir 46 peratus badannya dipercayai akibat bermain bunga api di rumahnya di Kampung Senara, Kubur Panjang Kedah.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa serta dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun bermain bunga api di depan rumah mereka. Tiba-tiba ibu bapa mangsa terdengar jeritan anak mereka sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang cuba memadam api yang membakar tubuh mangsa.

Ketika kejadian kedua-dua ibu bapa mangsa berada di dalam rumah sedang menonton televisyen.

Bapa mangsa kemudiannya mengambil sebaldi air lalu menjirus badan anaknya itu sebelum membawa mangsa ke Hospital Pendang.

Menurut bapa mangsa, beliau mendakwa anak perempuannya terbakar selepas disambar api pelita minyak tanah ketika ingin menyalakan bunga api. Walau bagaimanapun, kejadian sebenar hanya akan diketahui selepas rakaman keterangan dua abang mangsa diambil kerana buat masa ini mereka masih dalam keadaan trauma dengan insiden yang berlaku.

Pantaulah anak-anak kita sentiasa. Malang tidak berbau.