Input your search keywords and press Enter.

Cuaca Panas: Tiada PDPR Jika Sekolah Ditutup, Hari Persekolahan Diganti

Foto Sekadar Hiasan

Oleh Berita Harian

M Update, 02/05/2023 – Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak akan dilaksanakan sekiranya ada sekolah yang memohon penutupan sekolah untuk sementara waktu berikutan cuaca panas melampau.

Bagaimanapun, hari persekolahan mungkin diganti mengikut tarikh yang akan ditentukan oleh Pengarah Pendidikan Negeri masing-masing.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Ahmad Rafee Che Kassim, dalam garis panduan KPM juga dinyatakan, kalauĀ sekolah tutupĀ ia mungkin perlu diganti. Jadi pihak Pengarah Pendidikan Negeri akan maklumkan bila tarikh sesuai untuk ganti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) disebabkan itu tidak ada PdPR,” katanya.

Jelasnya, KPM juga tidak menetapkan jangka masa tertentu sekiranya sesebuah sekolah ditutup berikutan isu berkenaan, sebaliknya keputusan dibuat mengikut keadaan cuaca semasa sebagaimana laporan harian dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

KPM turut memberikan kelonggaran kepada warga sekolah termasuk pelajar dan guru untuk memakai kemeja-T sukan setiap hari semasa sesi persekolahan.

“Bukan hanya pelajar yang boleh mengenakan kemeja-T Pendidikan Jasmani (sukan), guru pun dibenarkan memakai kemeja-T. Sebagai solidariti kepada warga pendidik, warga KPM akan turut memakai kemeja-T esok,” katanya.

Berhubung mekanisme bagi penutupan sekolah, ia tertakluk kepada garis panduan yang telah dikeluarkan KPM iaitu suhu melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

“Pihak sekolah boleh memohon penutupan sekolah kepada pihak pendaftar atau Pengarah Negeri (masing-masing). Pengarah Negeri akan keluarkan kelulusan serta merta berhubung perkara ini.

“Mekanisme sudah ada, …cuma syor KPM supaya semua pihak khususnya di sekolah untuk pantau kesihatan murid dan guru. Pastikan aktiviti di luar dalam keadaan cuaca panas sebegini dielakkan. Buatlah aktiviti dalam kelas.

“Selain itu, ibu bapa juga dinasihatkan supaya membekalkan air kepada anak-anak dan beri ingatan kepada mereka supaya minum air secukupnya,” katanya.